Saya percaya, ramai orang bersetuju bahawa maksud kejayaan itu adalah subjektif. Sebagai ibubapa, kitalah yang menetapkan garis ukur kejayaan untuk anak kita. Apakah erti kejayaan untuk anak anda?
Ada orang menilai kejayaan anak dari sudut pencapaian akademiknya. Ada juga yang meletakkan anak itu berjaya bila ia berjaya mengumpul harta yang banyak, ada kereta besar dan ada rumah besar. Mengapa erti kejayaan ini sangat penting?
Apabila kita rasakan bahawa kecemerlangan akademik adalah kejayaan buat anak kita, maka kita akan tumpukan usaha pada akademiknya. Hantar ke sekolah yang bagus. Hantar ke kelas tuisyen dsb. Apabila kita meletakkan kejayaan itu pada harta, maka kita akan usahakan supaya anak kita untuk mempunyai pendapatan tetap, ada kerjaya yang baik, ada ijazah keleas pertama supaya dapat mohon kerja yang bagus dsb.
Ya, erti kejayaan yang kita cipta akan memberi kesan terhadap apakah yang akan kita usahakan untuk anak kita sepanjang mendidiknya. Jadi, apakah erti kejayaan yang sebenar untuk anak kita?
Kejayaan yang hakiki, ialah apabila anak kita dapat taat perintah Allah swt dan dapat amal cara hidup Rasulullah saw dalam setiap yang dilakukan dalam kehidupannya. Sekiranya dia seorang yang cemerlang akademiknya, dia adalah seorang pelajar genius yang taat kepada Allah dan RasulNya. Sekiranya dia seorang doktor, dia adalah seorang doktor yang taat kepada Allah dan Rasulnya. Sekiranya dia seorang businessman, dia adalah seorang businessman yang taat kepada Allah dan Rasulnya.
Hasilnya…
Seorang pelajar yang beriman pada Allah dan Rasulnya akan yakin bahawa kejayaan yang ada padanya bukan datang dari kepandaian dirinya, tetapi ia datang daripada Allah. Dengan ilmu yang dia ada, dia akan gunakan dan amalkan mengikut apa yang dibenarkan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
Seorang doktor yang beriman akan bekerja dengan ikhlas. Merawat pesakitnya kerana Allah. Mengajak pesakitnya untuk sentiasa dekat kepada Allah yakin kepada kuasa Allah. Hanya Allah yang boleh menyembuhkan penyakit. Ubat dan doktor tak dapat sembuhkan sebarang penyakit. Maka, nasihatnya pada pesakit adalah supaya menambahkan ibadah dan doa nya agar disembuhkan dari penyakit.
Seorang businessman yang beriman akan menjaga waktu solatnya. Kerana dia yakin, rezeki itu datangnya daripada Allah. Bukan daripada usahanya memajukan perniagaan. Dia tidak akan memakan riba’ kerana riba’ itu diharamkan oleh Allah dan setiap yang Allah swt haramkan pasti membawa kegagalan. Dia yakin, semakin tinggi ketaatannya pada Allah swt, semakin berjayalah kehidupannya di dunia dan di akhirat.
Letakkanlah erti kejayaan yang sebenar kepada anak-anak kita, supaya mereka tahu apakah yang lebih utama untuk hidup ini. Walau setinggi mana pun ijazah yang kita perolehi, walau setinggi mana pun pangkat yang kita miliki, walau sebanyak mana pun harta yang kita dapat kumpul, Allah swt tidak pernah akan tanya semua itu apabila kita tiba di akhirat nanti.
Allah swt hanya akan tanya kita, tentang IMAN dan AMAL yang telah kita usahakan di dunia ini. Kedua perkara ini jugalah yang akan menentukan kejayaan abadi buat kita, samada ditempatkan di syurga mahupun di neraka.
No comments:
Post a Comment