Thursday, January 12, 2012

Sabar Dalam Bersabar

Masjid Nabawi
" Kenapa perlu jadi baik jika hanya ditindas? Aku tak dapat bersabar lagi. Aku cuma mahu mereka rasakan bagaimana aku kehilangan segala-galanya satu ketika dahulu disebabkan duit rasuah mereka dan penipuan mereka dalam pelaburan syarikat." katanya dengan nada kesal.

" Wahai sahabat, sabarlah dalam bersabar. Sabar itu ada batasnya hanya sebagai alasan. Jika benarlah ia ada batasnya, maka ia lebih layak buat Pencipta berbanding kita sebagai hambaNya. Namun sebaliknya, Dialah inspirasi agar kita sabar untuk terus bersabar."

Firman Allah SWT yang bermaksud,
"Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa." ( Surah al-Baqarah : 177 )

Dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga, iaitu sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan maksiat, serta sabar ketika menghadapi musibah. Seringkali kita dianjurkan untuk bersabar, namun mampukah kita bersabar dalam bersabar?

Allah Yang Maha Esa dan Maha Agung

Lihatlah antara 99 nama Allah, as-Sabur, nama yang ke-99, iaitu Zat Yang Maha Sabar. Maka sabar adalah sifat Allah Yang Maha Berkuasa. Itulah sifat yang ditetapkan Allah untuk kita sebagai hamba-Nya. Malah ia diterapkan Allah dalam segala penciptaan-Nya agar kita dapat merenung dan belajar darinya.

Lihatlah matahari yang terbit dari sebelah timur dan naik sedikit demi sedikit sebelum tenggelam di sebelah barat. Lihatlah pokok yang tumbuh menghijau dari sebiji benih yang membesar sedikit demi sedikit. Lihatlah proses kejadian manusia dari persenyawaan sperma dan ovum, lalu membentuk proses pembentukan janin yang dikandungkan dalam perut ibu selama 9 bulan. Allah yang memiliki segala kesempurnaan mampu menciptakan semua itu sekelip mata, tetapi segala itu dicipta atas kesabaran demi menjadi panduan kita sebagai hamba-Nya.

Diriwayatkan ahmad dari Abu Musa al-Ash'ari, bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud, " Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan lebih sabar daripada Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki."

Dan firman Allah SWT yang bermaksud,
"Wahai anak Adam, tidak ketinggalan satu hari pun melainkan datang daripada-Ku rezeki untukmu, tetapi pada malam harinya Aku didatangi oleh malaikat mempersembahkan amalan kejahatan daripadamu. Kamu memakan rezeki-Ku kemudian kamu membalasinya dengan melakukan kederhakaan terhadap-Ku." ( Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali : al-Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah )

Betapa sabarnya Allah Yang Maha Bijaksana tatkala kita sebagai hamba-Nya sering tidak sabar dan tidak sanggup sabar dalam bersabar.

Sabar itu adalah tuntutan khusus yang wajib buat kita sebagai hamba-Nya. Jika kita sering mengikut dan mencontohi sikap boss kita di tempat kerja, juga mematuhi arahannya, adilkah kita untuk tidak mematuhi Allah yang Maha Besar yang sering menyeru kita agar bersabar di atas amal ibadah, ujian, dan musibah yang berlaku di sekeliling kita? 

Bidalan lama daripada cendikiawan ada mengatakan, "tidak rugi menjadi manusia penyabar. Biarlah kita tidak menghukumnya daripada tersalah memberi hukuman kepadanya."










No comments: